Rabu, 29 Jun 2011

Nombor-nombor Di Dalam Al-Quran

Angka 11

"Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan , kulihat semuanya sujud kepadaku."

(Yusuf ; 4)

Selasa, 28 Jun 2011

Bicara Agama

Nabi SAW melarang meminta kepadanya?


Seorang Muslim sejati itu akan sentiasa reda dengan ketentuan Allah SWT ke atasnya waima dalam susah mahupun senang. - Gambar hiasan


DISEBUT di dalam hadis, bahawa seorang munafik selalu menyakiti kaum Mukminin. Maka Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq RA berkata: "Marilah pergi bersama kita untuk meminta pertolongan dengan Rasulullah SAW daripada gangguan orang munafik ini." Maka Nabi Muhammad SAW pun bersabda: "Sesungguhnya, tidak boleh meminta pertolongan kepadaku, tetapi mintalah pertolongan hanya kepada Allah." (riwayat al-Tabrani dalam Mu'jam al-Kabir, dihukum sahih oleh al-Haithami dalam Majma' al-Zawaid)
Hadis ini juga sering digunakan oleh golongan yang melarang daripada meminta tolong kepada Rasulullah SAW. Penggunaan dalil seperti ini adalah batil dan salah dari asalnya.
Jika hadis ini difahami menurut makna zahirnya, maka maksudnya menegah daripada meminta tolong kepada Rasulullah SAW secara mutlak, sebagaimana zahir lafaz.
Pemahaman seperti itu ternyata bertentangan dengan amalan para sahabat RA ketika bersama Rasulullah SAW, kerana mereka sering kali memohon pertolongan dan memohon diturunkan hujan dengan Rasulullah SAW. Bahkan, mereka juga meminta Rasulullah SAW mendoakan mereka.
Rasulullah SAW pula sering memenuhi permohonan mereka dengan perasaan senang hati dan gembira. Jika demikian halnya, hadis ini mesti ditakwilkan sesuai dengan umumnya beberapa hadis untuk menyusun penyesuaian dengan nas-nas yang bercanggah dengan hadis di atas.
Kita mengatakan bahawa maksud atau tujuan sabda Rasulullah SAW itu ialah untuk menetap dan mengukuhkan hakikat tauhid dalam asas i'tiqadnya. Iaitu, penolong sebenarnya ialah Allah SWT dan hamba pula hanyalah sebagai perantaraan untuk mendapatkannya. Atau pun, apa yang dikehendaki dan dimaksudkan oleh Rasulullah SAW ialah untuk mengajar umatnya bahawa tidak boleh meminta kepada seseorang hamba itu melakukan atau menolong apa yang tidak termampu atau berkuasa dilakukannya; seperti menentukan seseorang itu berjaya menjadi ahli syurga dan terhindar daripada seksaan api neraka, menentukan seseorang mendapat hidayah yang memeliharanya daripada terjerumus ke dalam kesesatan dan jaminan yang memestikan seseorang itu mati di dalam kebahagiaan.
Hadis ini juga tidak menunjukkan kepada pengkhususan dalam melakukan istighathah atau meminta tolong itu hanya dibolehkan kepada yang hidup tidak kepada yang telah mati. Bahkan, jika melihat kepada zahir hadis ini, kita dilarang terus untuk meminta tolong kepada selain Allah, tanpa membezakan di antara yang masih hidup, ataupun yang telah mati. Namun demikian, ini bukanlah maksud sebenar hadis ini sebagaimana yang telah kita kemukakan.
Syeikh Ibnu Taimiyyah sendiri telah mengisyaratkan kepada makna yang telah kita kemukakan di dalam kitabnya, al-Fatawa. Beliau mengatakan: "Kadangkala, di dalam Kalam Allah dan sabda Rasul-Nya, ada ungkapan yang mempunyai makna yang sohih, tetapi sebahagian orang memahaminya dengan pemahaman yang tidak sejalan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya. Maka, pemahaman seperti ini mesti ditolak
. Contohnya, hadis yang diriwayatkan oleh Imam al Tabrani di dalam Mu'jam al Kabir, (hadis di atas)… Apa yang dikehendaki oleh Nabi Muhammad SAW adalah makna yang kedua, iaitu bahawa Baginda SAW tidak layak diminta tolong untuk melakukan sesuatu yang hanya dapat dilakukan oleh Allah SWT.
Jika tidak demikian, maka para sahabat RA sendiri biasa memohon doa daripada Baginda SAW. Bahkan, mereka juga memohon dengan Baginda SAW agar diturunkan hujan, sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari, daripada Abdullah ibn Umar RA berkata: Kadangkala aku teringat kepada seorang penyair. Ketika itu, aku memandang wajah Rasulullah SAW yang sedang memohon diturunkan hujan. Maka hujan tidak turun sehinggalah turunnya air dari salurannya dengan deras." Si penyair mengatakan: "Dengan berkat 'yang berwajah putih' (Rasulullah SAW) awan menurunkan hujannya; pemelihara anak-anak yatim dan pelindung janda-janda."

Ahad, 26 Jun 2011

Dari MINDA TAJDID

Banyak perkara yang mengelirukan kita pada akhir zaman ini. Kita hidup di zaman yang penuh kekeliruan. Pemikiran kita bercampur-campur. Antara kekalutan situasi yang ada dan kerencaman pelbagai anasir yang wujud dalam menyelesaikan kekalutan itu. Banyak ketulenan sudah hilang. Agama yang asal juga diubah menurut kehendak penaja yang bercakap mengenainya. Bercampur baur antara sunnah dan bidaah. Semua perkara didagangkan, demikian agama juga dilelong. Siapakah yang jujur sukar dicari.

Setiap produk samada barangan ataupun politik cuba dikaitkan dengan nama agama untuk dilariskan jualannya. Agama dibengkuk dan dibentuk menurut kehendak pasaran. Pasaran makanan, pasaran pakaian, pasaran politik, pasaran pendidikan dan seumpamanya diberikan nama agama. Sehingga dari produk makanan, pakaian, politik dan segalanya ‘dicelup’ nama Islam. Kita pun sukar hendak pasti antara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan jujur keranaNYA, dan yang bertujuan mendekatkan wang kepadanya dengan menggunakan nama Allah dan rasulNya.

Inilah yang berlaku kepada golongan Ahlul Kitab yang dilaknat oleh Allah. Firman Allah: (maksudnya)
“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka, kemudian mereka berkata: “Ini dari sisi Allah”, supaya mereka (dengan perbuatan itu) dapat membelinya dengan harga yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu”. (Surah al-Baqarah, ayat 79).
Itulah Ahlul Kitab, mereka menggunakan nama Allah untuk produk diterima sekalipun ia sama sekali tidak berasal dari Allah dan hanya bidaah dan rekaan mereka semata.
Golongan Sedikit
Malangnya, di akhir zaman golongan yang menjadikan agama itu bersimpang siur telah menguasai keadaan. Sesiapa yang enggan dia tersepit di tengah ombak kecelaruan yang mengkaburkan. Banyak pendapat dan andaian muncul di sana-sini; sehingga kita tertanya-tanya siapakah yang jujur, siapakah yang berdagang agamanya. Siapakah yang patut kita bela? Inilah suasana dunia yang membaluti kita hari ini. Pendirian agama kita dipaksa oleh orang lain. Kita tidak diberi kebebasan berpegang dengan apa yang kita yakin dari dalil-dalil yang kita baca dari al-Quran dan Sunnah. Itu kadang-kala dianggap menyanggahi majoriti.
Kita tidak menafikan masih ada golongan yang soleh, tetapi mereka itu sedikit di akhir zaman, merekaghuraba`. Nabi bersabda:
“Ada tetap ada suatu puak dalam kalangan umatku, yang menegakkan urusan Allah (Islam), mereka tidak dapat dimusnahkan oleh golongan yang menghina dan menyanggahi mereka sehingga tibanya janji Allah (Kiamat) mereka tetap bangkit” (Riwayat Muslim).
Kata al-Imam Ahmad: “Jika mereka bukan ahlul hadis, aku tidak tahu siapa lagi”. Ertinya golongan yang berpegang kepada nas-nas Nabi s.a.w. itu akan tetap ada, ditentang dan dilawan, namun tetap bangkit.
Ya, di akhir zaman, golongan ini minoriti. Mereka dianggap asing di tengah lautan manusia yang rosak. Dalam riwayat al-Imam Ahmad, Nabi s.a.w bersabda:
“Beruntunglah golongan ghuraba` (yang asing atau pelik)”. Ditanya baginda: “Siapakah mereka yang ghuraba itu wahai Rasulullah?”. Jawab baginda: “Golongan yang soleh dalam kalangan ramai yang jahat, yang menentang mereka lebih ramai daripada yang mentaati mereka”. (dinilai sahih oleh Ahmad Shakir).
Ghuraba`
http://drmaza.com/home/wp-content/ghuraba.jpg
Ghuraba` atau asing itu ada dua bentuk. Pertama; asing di sudut jasad, seperti mana seseorang yang pergi ke tempat baru yang dia tidak dikenali. Maka, dia akan berasa terasing dalam masyarakat yang baru, atau orang melihatnya asing kerana baru hadir. Namun, itu senang untuk diselesaikan. Sedikit pergaulan mesra, dan pandai mencari kawan, keadaan mungkin tidak asing lagi.
Kedua; asing di sudut ruh dan pemikiran. Sekalipun seseorang itu lama atau anak jati masyarakatnya, tetapi dia mungkin dianggap asing disebabkan pemikiran yang berbeza dengan mereka, atau sikap yang asing dari kebiasaan masyarakatnya. Dia terpencil kerana pendiriannya. Hal ini menyebabkan dia akan dipulau, dikecam, dihina dan ditolak. Tidak dapat diubah keadaan ini, melainkan dia mengubah prinsipnya, atau dia berjaya mengubah persepsi masyarakatnya. Itu merupakan tanggungjawab yang berat. Apatah lagi dalam masyarakat akhir zaman, di mana Nabi s.a.w bersabda:
“Islam itu bermulanya asing, dan akan kembali sebagai asing, maka beruntung mereka yang ghuraba` (yang asing)”. Ditanya Nabi s.a.w: “Siapakah ghuraba`?”. Jawab baginda: “Serpihan dari kabilah”. (Riwayat al-Baghawi, sanad sahih).
Maksudnya, golongan yang asing dan terpencil dari kelompok mereka, samada kabilah keturunan atau kumpulan-kumpulan yang wujud dalam dunia hari ini.
Biasanya, setiap puak mahu kita mengiyakan sahaja apa yang mereka kata. Jika mereka bangsa, mereka mahu samada buruk atau baik, kita sokong semua tindakan bangsa atau kabilah kita. Jika amalan tradisi yang bidaah dalam masyakat, disuruh terima sekalipun menyanggahi kitab dan sunnah. Kalau parti politik mereka mahu supaya kita tunduk kepada mereka samada yang benar atau yang salah. Demikian kumpulan dan organisasi dan seumpamanya.
Bagi mereka, jika tidak tunduk sepenuh itu tidak ada pendirian. Menyokong sebahagian perkara, berbeza dalam beberapa perkara dianggap berpendirian tidak teguh, kerana paksi mereka itu adalah kumpulan atau bangsa. Namun, golongan ghuraba’, paksi mereka adalah nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Mereka itu‘Allah centric’, berpaksikan Allah dalam keputusan, sekalipun terpaksa berkorban jawatan, nama, rakan dan kedudukan.
Amatlah sukar untk hidup sebagai ghuraba`. Tekanan perasaan dan jiwa akan melanda. Mungkin mudah untuk diceritakan, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Justeru itu, mereka dijanjikan syurga. Janji Nabi s.a.w:‘Beruntunglah ghuraba’. Golongan ghuraba’ bukan asing dinisbahkan kepada nas al-Quran dan al-Sunnah, tetapi asing dinisbah kepada keadaan sekeliling yang berbeza dengan kedua sumber agung itu. Namun, apakah pilihan yang ada, sedangkan Allah mengingatkan Nabi s.a.w: (maksudnya)
“Jika engkau taat kepada kebanyakan mereka di bumi ini, nescaya mereka menyesatkan engku dari jalan Allah” (Surah al-An’am, 116).
Ketika ramai manusia berlari mencari keredhaan makhluk, golongan ghuraba’, berlari mencari keredhaan Allah, sekalipun dimusuhi makhluk. Firman (maksudnya):
“Maka larilah kepada Allah” (Surah al-Zariyyat, 50).
Hidup sebagai ghuraba’ bukanlah mudah, namun kadang-kala kita terpaksa mengharunginya. Ini menambahkan tawakkal, keikhlasan, kekhusyukan dan segala jalan yang mendampingkan kepada Allah. Ketika dunia enggan berdampingan, tiada teman melainkan Tuhan al-Rahman dan rakan-rakan yang menjalani kehidupan sebagai ghuraba’. Di situlah limpahan kemanisan perjuangan.

Nombor-nombor Di Dalam Al-Quran

Angka 10

  " Berkatalah dia (Syu`aib) : " Sesungguhnya aku bermaksud  menikahkan kamu dengan salah seorang dari kedua anakku ini, atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) dari kamu , maka aku tidak hendak memberatimu ."

(Al- Qashash: 27)

Jumaat, 24 Jun 2011

Dailog 4

      Auza`i pernah bertanya  kepada  Abu Hanifah ," Mengapa Anda tidak mengangkat tangan ketika ruku` dan  i`tidal ? Abu Hanifah menjawab , "kerana tidak ada dalil yang kuat dari Nabi Muhammad s.a.w. ." Auza`i berkata , "Bagaimana tidak ada  , sedangkan al-Zuhri telah menceritakan kepadaku  dari Salim dari Bapanya bahawa Rasulullah s.a.w. mengangkat tangannya apabila ia memulai shalat , ketika ruku` dan ketika bangun dari ruku`." Abu Hanifah berkata , "Kepadaku telah menceritakan Hammad dari Ibrahim dari Al-qamah dan Aswad dari Abdullah bin Mas`ud, bahawa Rasulullah s.a.w. tidak mengangkat kedua tangannya kecuali ketika memulai shalat dan tidak mengulanginya." Auza`i berkata " Saya menceritakan kepada Anda dari Salim dari Ibnu Umar , dan Anda mengatakan telah menceritakan kepadaku Hammad dari Ibrahim?"Abu Hanifah menjawab, " Hammad lebih faqih daripada al-Zuhri dan Ibrahim lebih faqih ketimbang Salim, sedangkan alqamah tidak lebih rendah dari Ibnu Umar malah ia bersahabat. Akan halnya Aswad dia jelas mempunyai keutamaan besar." Kemudian Auza` diam