Sabtu, 2 Februari 2013

Bab : Islam Bukan Bersifat Kepartian


Apabila Nabi SAW menjelaskan Islam itu dibina di atas lima perkara. Seperti hadis Baginda yang bermaksud: “Islam dibangun di atas lima perkara; Bersaksi bahawa tiada Ilah yang berhak disembah selain Allah dan bahawa Nabi Muhammad utusan Allah, menegakkan solat, menunaikan zakat, puasa di bulan Ramadan dan melaksanakan haji.” (Riwayat Muslim)
Kriteria Islam seseorang itu sudah memadai jika beriman dan melaksanakan lima perkara ini. Tidak boleh orang lain mengatakan kepada seseorang Islam yang lain akan kekafiran selepas individu terbabit beriman dan beramal dengan apa yang menjadi dasar Islam itu dibina.
Perkara ini jelas menunjukkan kepada kita, Islam sebuah agama yang tidak pernah dibataskan melainkan apa yang dikatakan oleh Nabi seperti hadis di atas. Islam itu tiada warna, rasa, logo, apatah lagi bersifat kepartian.
Hari ini di atas dasar demokrasi yang dicipta Yahudi menyebabkan sesebuah parti politik diperlukan untuk memerintah negara.
Apabila parti menjadi tunjang untuk menentukan pemerintah sesebuah kerajaan, tidaklah menjadikan parti itu diiktiraf sebagai Islam walaupun parti ini menyandarkan kalimah Islam pada partinya.
Hal ini kerana Islam bukan parti manakala Allah dan Rasulnya tidak pernah katakan sedemikian.
Bahkan agama tidak pernah mengatakan bahawa parti sebahagian daripada kesempurnaan Islam. Apatah lagi kewujudan pelbagai parti yang banyak dalam sesebuah negara boleh mengakibatkan perpecahan dan pergaduhan.
Demokrasi ciptaan Yahudi Inilah kejayaan Yahudi dalam memastikan kelemahan orang Islam dan negara Islam atas demokrasi yang mereka ciptakan dan kempen.
Timbul sifat fanatik dan taksub serta merendah-rendahkan orang Islam lain yang tidak bersama mereka. Secara tidak langsung dapat difahami Islam yang universal sifatnya sudah terpenjara sebatas pemahaman kepartian saja.
Allah SWT mengingatkan kita dalam al-Quran dengan firmannya yang bermaksud: “Sesungguhnya (agama tauhid) ini, adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Rabbmu, maka bertakwalah kepada-Ku. Kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) menjadikan agama mereka terpecah-belah menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada sisi mereka (masing-masing).” (Al Mu’minun : 52-53)
Peringatan Allah ini sewajarnya diambil iktibar. Apakah kesan negatif yang akan timbul jika Islam difahami melalui pintu kepartian? Kesannya ialah segala niat, kebaikan, amal ibadat, perjuangan memartabatkan Islam dan taubat seseorang itu akan dianggap diterima oleh Allah.
Lebih teruk lagi, segala dosa, syirik, maksiat, kemungkaran dan kejahilan yang dilakukan seseorang itu akan juga dianggap terhapus. Inilah kesan negatif di atas sangkaan yang salah.
Maka tidak hairanlah jika ada seseorang yang masa mudanya mengabaikan Islam, bila sudah tua ingin kembali kepada Islam berasakan taubatnya tidak sempurna jika tidak menyertai parti sedemikian.
Begitu juga artis dan pelakon yang ingin membetulkan masa silamnya berasakan Islam yang sebenar-benar itu dibawa oleh parti dan difahami dengan konotasi kepartian. Sekiranya kaum muslimin gagal memahami maksud Islam sebenar berlandaskan al-Quran dan sunnah dengan pemahaman sahabat dan salafussoleh, pasti salah faham dan salah beramal akan terhasil.
Tiada musibah yang lebih besar apabila makna Islam ini tidak difahami di atas dasar ilmu yang dibawa Nabi Muhammad SAW.-1/2/2013
AHMAD TAJUDDIN IDRIS AL-MANHAJI
Penulis Ketua Biro Massa ilmuan Malaysia (iLMU) lulusan Syariah Fiqh dan Usul, UM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan