Sabtu, 4 Mei 2013

Adab-Adab Berzikir dan Hukum Melaungkan Takbir Beramai-Ramai


Abu Omar, Idris bin Sulaiman
Di antara banyak bentuk ibadah yang telah disyariatkan dalam Islam adalah ibadah berzikir mengingati Allah dengan menyebut namaNya sebagaimana dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
يَآأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اذْكُرُوا اللهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
“Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya” (Al-Ahzaab, 41).
Dalam masa yang sama, harus diingat bahawa urusan Agama atau ibadah adalah tauqifiyyah yang mana ia terikat dengan petunjuk dan garis panduan Syarak yang perlu dipatuhi termasuklah dalam urusan berzikir.
ADAB-ADAB BERZIKIR
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِفْيَةً وَدُونَ الْجَهْرِمِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَاْلأَصَالِ وَلاَتَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ
“Dan berzikirlah kepada Tuhanmu pada dirimu dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dengan tidak menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau tergolong di kalangan orang-orang yang lalai” (Al-A’raaf, 205).
Dalam ayat di atas, di samping mengandungi perintah supaya berzikir kepada Allah serta larangan tergolong di kalangan orang lalai yang tidak mengingati Allah, ia telah menghimpunkan beberapa adab yang perlu diamalkan ketika berzikir (Rujukan: Mahasin Al-Takwil oleh Al-Qasimi).
Antara adab-adab ini ialah:
      1. Ucapan zikir hendaklah dengan suara perlahan berbisik. Itu yang dimaksudkan dengan فِي نَفْسِكَ (pada dirimu) yang bererti jangan sampai didengar oleh orang lain. Ini kerana cara ini lebih hampir kepada ikhlas, lebih dekat dimakbulkan dan jauh daripada riyak.
      2. Hendaklah dengan merendah diri, patuh dan taat serta mengakui kelemahan diri agar dapat merealisasikan perhambaan diri kepada Allah serta mengiktiraf kekuasan dan keagonganNya.
      3. Zikir hendaklah dilakukan dengan perasaan takut atas kekurangan diri, khuatir ibadah yang dilakukan akan tertolak dan tidak diterima.
      4. Hendaklah suara tidak dikeraskan atau dikuatkan supaya dapat bertafakur serta menumpukan perhatian kepada zikir yang dibaca. Berkata Ibnu Kathir, “FirmanNya, وَدُونَ الجَهْر مِنَ القَوْل (Dengan tidak menyaringkan suara); beginilah zikir sewajarnya dilakukan, bukan dengan cara memanggil, dengan suara kuat mahupun keras” (Tafsir Ibnu Kathir, 3/544).
      5. Hendaklah dengan ucapan lisan dan tidak sekadar dengan bacaan hati. Sebagaimana yang dapat difahami daripada firmanNya وَدُونَ الجَهْر (Dengan tidak nyaring). Maknanya dengan bersuara tetapi tidak sampai didengar oleh orang lain. Hasilnya, zikir yang diucap dengan lisan akan dapat dihayati dengan hati.
BERZIKIR HENDAKLAH DILAKUKAN SECARA PERLAHAN
Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-A’raaf, ayat 205:
“Dan berzikirlah serta ingatlah akan Tuhanmu pada dirimu dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan dengan tidak menyaringkan suara.”
Para ulama menyimpulkan daripada ayat di atas bahawa berzikir secara prinsipnya hendaklah dilakukan secara bersendirian dan secara sir (سِرْ) iaitu perlahan tanpa menguatkan suara mahupun mengeraskannya.
Para ulama termasuk Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah r.h. dalam Majmuk Fatawanya telah menyebutkan tentang hikmah mengapa berzikir perlu dilakukan secara perlahan dan antara lainnya adalah:
  1. Ia lebih hampir kepada iman; kerana pelakunya mengetahui bahawa Allah Maha Mendengar apa yang perlahan dan yang disembunyikan.
  2. Ia lebih sopan dan beradab. Sekiranya manusia tidak mengangkat suara ketika mengadap raja atau ketua negara, sewajarnya Allah lebih layak untuk dihormati dan diagongkan.
  3. Ia lebih kepada khusyuk dan tawaduk yang menjadi asas penting dalam berzikir bahkan ia menjadi matlamat utamanya. Ini kerana zikir orang yang khusyuk dan tawaduk adalah zikir yang datang daripada isi hati dalam keadaan tunduk dan berharap.
  4. Ia lebih kepada ikhlas dan jauh daripada sifat riyak menunjuk-nunjuk amalan ibadah yang dilakukan.
  5. Ia menunjukkan betapa hampirnya hamba itu dengan Allah. Zikirnya bukan datang daripada orang yang menyeru dan memanggil Tuhan yang jauh. Sebaliknya ia datang daripada seorang hamba yang dapat merasakan betapa hampir Tuhannya di sisinya dengan pandangan dan penglihatanNya. Sebab itulah dia berzikir secara perlahan dan rahsia.
  6. Ia akan dapat dilakukan secara berterusan kerana lidah tidak akan jemu dan badan tidak akan merasa penat.
  7. Orang yang berzikir secara perlahan akan terselamat daripada gangguan dan halangan kerana dia tidak akan mengganggu sesiapa, dan orang lain juga tidak akan terganggu dengannya. Akhirnya tidak ada sesiapa yang menyedari zikirnya kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala.
IBADAH ZIKIR TIDAK BOLEH DILAKUKAN SECARA BERAMAI-RAMAI
Sebagaimana asal hukum solat hendaklah dilakukan di rumah secara bersendirian kecuali yang mana yang disyariatkan secara berjemaah, begitu jugalah dalam berzikir. Cuma bezanya, dalam berzikir tidak ada pengecualian yang disyariatkan untuk dilakukan secara berjemaah dan beramai-ramai.
Bahkan perbuatan melakukan zikir secara beramai-ramai bercanggah dengan petunjuk dalil Al-Quran dan Sunnah sebagaimana yang telah dinyatakan sebahagiannya dalam rencana ini.
Tidak ada satu pun dalil yang menunjukkan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pernah melakukannya sama ada selepas solat atau selainnya. Begitu juga dengan para Sahabat radhiyallahu ‘anhum dan generasi Salaf Al-Soleh, termasuklah para Imam Muktabar seperti Imam Syafie rahimahullah.
Bahkan dalam satu athar yang sahih daripada riwayat Al-Darimi, Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu telah mengingkari satu majlis zikir di masjid kerana ia dilakukan secara beramai-ramai di bawah seorang ketua.
HUKUM MELAUNGKAN TAKBIR BERAMAI-RAMAI
Takbir yang dimaksudkan di sini adalah laungan “Allahu Akbar” yang dilaungkan secara kuat dan beramai-ramai ketika diarahkan oleh si ketua dengan ucapan ‘takbiiir!”. Ia kini seolah-olah menjadi satu trend baru yang lazimnya dilakukan ketika dalam ceramah atau perhimpunan yang berkait dengan Agama.
Sekiranya diamati, akan didapati bahawa perbuatan ini bercanggah dengan Syarak. Ini kerana ucapan ‘Allahu Akbar’ adalah termasuk dalam ibadah zikir yang terikat dengan garis panduan dan adab-adab berzikir yang telah ditetapkan Syarak.
Percanggahan-percanggahan ini dapat dilihat daripada beberapa sudut:
1. Ia dilaungkan secara kuat dan beramai-ramai ketika diarahkan oleh si ketua walhal Syarak menetapkan bahwa zikir hendaklah dilakukan dengan suara perlahan dan bersendirian tanpa arahan sesiapa.
2. Cara seperti ini menyalahi matlamat utama berzikir yang bertujuan untuk menimbulkan rasa rendah diri, patuh dan tunduk kepada suruhan Allah di samping mewujudkan perasaan takut atas kekurangan diri serta merasai keagongan Allah dan kehebatanNya. Kebiasaannya mereka yang melaungkan takbir secara kuat apatah lagi menjerit akan merasa diri kuat dan bertenaga jauh sekali daripada perasaan takut.
Bahkan kalau diamati, ia sememangnya bertujuan untuk menimbulkan perasaan berani dan merasa diri hebat khususnya dalam ceramah atau perhimpunan yang bertujuan untuk membantah atau mengkritik pihak-pihak tertentu. Hal ini bercanggah dengan sifat orang mukmin, “Sesungguhnya orang yang beriman apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka” (Al-Anfaal, 2) dan firmanNya, “Orang-orang beriman tenang tenteram hati mereka dengan berzikir kepada Allah” (Al-Ra’ad, 28). Bukan merasa gemuruh dan resah.
3. Perbuatan ini lebih hampir kepada riyak serta menunjuk-nunjuk. Jika tidak, apa perlunya dilaungkan secara kuat dan beramai-ramai. Kepada siapakah laungan ‘Allahu Akbar’ ditujukan? Apakah ia bertujuan untuk menguatkan keyakinan bahawa ‘Allah itu Maha Besar’ atau terdapat tujuan lain di sebaliknya?
4. Apa yang pasti ia adalah ibadah dalam bentuk gaya baru yang tidak ada contohnya daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, para Sahabat radhiyallahu ‘anhum dan generasi Salaf Al-Soleh. Bahkan tidak ada seorang pun ulamak muktabar dahulu yang menganjurkannya.
Dalam suatu peristiwa ketika Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersama para Sahabat dalam perjalanan ke medan perang, mereka bertakbir secara kuat (ketika naik ke tempat tinggi sebagaimana yang dianjur dalam Sunnah) lalu Baginda bersabda, “Wahai manusia, berpadalah pada diri kamu, sungguh kamu tidak menyeru kepada Tuhan yang pekak mahupun jauh; sebaliknya kamu berdoa kepada Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat” (Bukhari dan Muslim).
Walaupun dalam keadaan bersemangat menuju ke medan perang beramai-ramai bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi Baginda tetap menegur perbuatan mereka melaungkan takbir secara kuat walaupun ia dilakukan secara berasingan dan secara individu, dan atas sebab yang syarie. Bagaimana pula sekiranya takbir dilaungkan secara kuat dan keras secara beramai-ramai tanpa sebarang sebab yang syarie?
Lebih buruk kalau ia dilakukan dalam ceramah politik yang penuh dengan maki hamun mengajak kepada parti dan kumpulan masing-masing, memecah-belahkan Umat Islam serta mengajak kepada revolusi menjatuhkan pemerintah Islam. Jelas ia lebih tercela.
5. Kesimpulannya, perbuatan melaungkan ‘Allahu Akbar’ secara beramai-ramai bercanggah dengan Syarak dan termasuk dalam larangan Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam, “Barangsiapa melakukan suatu amalan yang tidak ada perintahnya daripada kami maka ia adalah tertolak” (Bukhari dan Muslim).
وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم

Tiada ulasan:

Catat Ulasan